Never Die Untill Death

Followers

Tuesday, December 27, 2011

Interpol Buru Pengasas Syarikat Implan Payu Dara


Pengasas syarikat Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas yang kini diburu Interpol berhubung skandal kesihatan kerana implan payu dara keluarannya boleh menjejaskan pemakai, pernah bekerja sebagai penjual daging.

Mas, 72, diburu selepas implan payu dara firma itu yang digunakan lebih 300,000 wanita di seluruh dunia termasuk 40,000 di Britain, dikatakan mudah pecah sehingga boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada pemakainya.

Seorang pakar pembedahan plastik Perancis, Patrick Baraf mendedahkan, bahawa pemilik PIP itu pernah bekerja sebagai penjual daging sebelum memulakan karier sebagai pembuat implan payu dara.

"Dia berhenti menjual daging pada 1991 dan mula membuat implan payu dara di bandar Toulon, Perancis," katanya.

Baraf yang pernah beberapa kali bertemu Mas pada persidangan-persidangan mengenai pembedahan plastik di seluruh Eropah berkata, harga implan PIP merupakan yang paling murah di pasaran.

Menurut penyiasat, syarikat itu jimat kira-kira 1 juta pound (RM5 juta) setahun dengan menggunakan silikon industri berbanding silikon perubatan untuk pengeluaran implan payu dara tersebut.

Pemakai implan PIP bimbang bahan itu boleh mendatangkan masalah kesihatan sekiranya ia pecah dan kerajaan Perancis turut menawarkan untuk membiayai kos pembedahan kepada wanita yang berhasrat membuang implan berkenaan.

Peguam Mas, Yves Haddad berkata, anak guamnya terkejut dengan skandal baru yang menggemparkan dunia tersebut, tetapi menegaskan pemilik PIP itu yakin produknya tidak mendatangkan bahaya

Thursday, December 22, 2011

Revolusi Telefon Pintar Motorola


Selepas lama menyepi, syarikat teknologi Motorola Mobiliti Inc. tampil memperkenalkan produk telefon bimbit pintar terbaru mereka, Motorola RAZR dengan tawaran fungsi lebih eksklusif dan dinamik.

Masih kekal bersama platform RAZR, model itu dilihat bakal menyaingi pelbagai jenama peranti telekomunikasi moden yang banyak terdapat di pasaran.

Motorola RAZR hadir bersama reka bentuk unik yang sangat ringan dan nipis iaitu hanya 7.1 milimeter (mm).

Lengkungan luarnya diperbuat daripada potongan aluminium berlian yang dibangunkan bersama material keluli tahan karat dan fiber KEVLAR.

Tidak cukup dengan itu, peranti kawalan sentuh penuh itu turut mengaplikasi teknologi skrin AMOLED termaju bersaiz 4.3 inci dengan kualiti kukuh tahan calar Corning Gorilla.

Menerusi fungsi antara muka yang lebih intuitif, Motorola RAZR membenarkan pelbagai aplikasi diaktifkan secara serentak pada satu-satu masa.

Bagi spesifikasi teknikalnya pula, model tersebut dipacu oleh pemproses dua teras 1.2GHz dan RAM DDR2 1GB dengan sokongan sistem operasi terpantas iaitu Android 2.3.5.

Lebih menarik lagi, ia tersedia bersama aplikasi Motorola MotoCast untuk akses kepada komputer peribadi secara terus daripada telefon bimbit bagi membolehkan pengguna mencari serta memuat turun fail atau media kegemaran mereka.

Fungsi kameranya juga tidak menghampakan kerana dilengkapi resolusi lapan megapiksel dan boleh merakam video definisi tinggi (HD) 1080p.

Dengan segala kelebihan itu, Motorola RAZR telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan tawaran harga RM1,999.

Saturday, November 19, 2011

Kos Kahwin Anak Susilo RM4.2 juta?


Majlis pernikahan anak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Edhie Ibas Baskoro dan Aliya Rajasa, anak kepada Menteri Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa didakwa bakal menelan kos sebanyak Rupiah 12 bilion (RM4.2 juta).

Kos pernikahan yang bakal diadakan pada 26 November ini didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan.

"Ia merupakan satu hal yang ironi kerana ia perkahwinan mewah dua orang anak pemimpin negara yang hidup mereka bersandarkan kepada cukai yang dibayar oleh rakyat.

"Pada masa sama sebilangan besar masyarakat hidup dalam kemiskinan," kata penyelaras Bendera, Mustar Bona Ventura.

Menurut Mustar juga, kos pernikahan itu membolehkan kerajaan membina sekurang-kurangnya 120 buah pra-sekolah selain membantu meningkatkan taraf pendidikan 6,000 kanak-kanak setiap tahun.

Bendera yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini pernah mencetus kontroversi dengan menyiarkan senarai nama beberapa individu berpengaruh yang didakwa terlibat dalam skandal Bank Century.

Beberapa tokoh yang nama mereka disebut dalam senarai itu telah mengambil tindakan terhadap dua aktivis Bendera kerana memfitnah.

Menurut laporan, kedua-dua mempelai akan bersanding mengikut adat Jawa di hadapan kira-kira 3,600 tetamu jemputan dan akan turut dihiburkan oleh penyanyi Anggun.

Monday, October 24, 2011

Tragedi Di Litar Sepang


Tragedi Litar Sepang. PENUNGGANG Itali, Marco Simoncelli (terbaring kiri) maut selepas motosikalnya terbabas ke tengah litar selekoh 11 Litar Antarabangsa Sepang sebelum dirempuh Colin Edwards (tengah) dan Valentino Rossi (kanan).

Dalam insiden yang berlaku empat minit sebaik perlumbaan MotoGP GP Malaysia itu bermula semalam, topi keledar Simoncelli tertanggal menyebabkan kecederaan parah pada kepala dan badannya.

Bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan serta merta.

Tuesday, October 18, 2011

Tanah Runtuh Di Gutemala


ANGGOTA bomba dan pasukan tentera bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di kampung Boca del Monte, Villacanales, pinggir Gutemala, semalam.

Menurut media tempatan, tiga dewasa dan dua kanak-kanak telah tertimbus akibat tanah runtuh disebabkan hujan lebat selepas ribut tropika melanda negara.

Sekurang-kurangnya 44 orang maut dan 100 ribu yang lain terjejas oleh hujan, mengikut Penyelarasan Pengurangan Bencana Negara.

Wednesday, October 5, 2011

Belanjawan Alternatif 2012 - Pihak Pembangkang


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) bersama Lim Kit Siang (DAP), Mahfuz Omar (PAS), Dr Tan Seng Giaw (DAP) ,Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR) dan Datin Seri Wan Azizah Ismail (PKR) pada pengumuman belanjawan alternatif di Parlimen, hari ini.

Friday, September 30, 2011

Pengebom Sungai Golok Bersembunyi Di Malaysia


Polis sedang giat mengumpul maklumat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa dalang yang melakukan siri letupan bom di Sungai Golok, Thailand dipercayai sedang bersembunyi di negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tidak akan berdiam diri jika dakwaan tersebut benar seperti didakwa pihak berkuasa Thailand.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.

“Polis Kelantan sedang membuat risikan berhubung perkara itu bersama-sama polis Thailand. Kita (polis) akan mendapatkan maklumat lanjut dan kita sama sekali tidak akan berdiam diri dan akan mengatur strategi. Segala maklumat ini penting bagi polis Kelantan.

“Kalau benar mereka berada di negara ini, kita akan tangkap. Setakat ini dalam siasatan kita tidak jumpa mana-mana (individu) yang dimaksudkan itu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pemakaian Pangkat Bagi Anggota di sini, semalam.

Monday, September 26, 2011

Perkahwinan Norman Hakim & Memey


BAGAI pesta malam minggu begitulah meriahnya majlis pernikahan pasangan sensasi, Norman Hakim dan Memey di kampung halaman pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor apabila masyarakat kampung dan penduduk sekitar berpusu-pusu menuju ke rumah keluarganya.

Anak muda kampung berduyun-duyun menunggang motosikal, manakala ibu bapa mengendong anak kecil mereka semata-mata mahu menyertai acara joget lambak dan karaoke yang diadakan pada sebelah malam selepas majlis berinai dan potong kek.

Malah pasangan bahagia itu cukup sporting apabila mendendangkan lagu Jangan Pisahkan khusus buat tetamu, malah turut meluangkan masa bergambar dengan peminat.

Pasangan merpati dua sejoli ini dirai cukup meriah keluarga Memey yang bertungkus lumus membuat perancangan sejak berbulan-bulan lalu bagi memastikan majlis pernikahan mereka menjadi yang terhebat di Felda itu. Status sebagai selebriti juga menyebabkan majlis ini diadakan penuh meriah.

Semoga berbahgia dan berkekalan sehingga ke anak cucu.

Saturday, September 24, 2011

129 Negara Sokong Palestin


Ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersedia untuk mengemukakan permohonan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat, dua per tiga anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menyokong usaha berkenaan.

Delegasi Palestin menyatakan sebanyak 129 negara sudah memberikan sokongan kepada Palestin, lapor saluran televisyen, Al Jazeera.

Keadaan itu membawa makna Palestin menerima sokongan dua pertiga majoriti di Perhimpunan Agung PBB di mana Palestin boleh memilih untuk mendapatkan status bukan anggota dalam badan dunia itu.

''Pada peringkat ini, Palestin boleh ke Majlis Keselamatan PBB di mana Abbas menyerahkan permohonan berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB,'' lapor Al Jazeera.

Dalam pada itu, rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya di Ramallah dan Gaza, semalam selepas ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB yang dilihat pro-Israel.

Lebih 1,000 penunjuk perasaan yang membawa kain rentang mengecam Obama, berkumpul di luar pejabat Abbas di Tebing Barat sebelum berarak ke pusat bandar.

Di Gaza pula, kira-kira 300 wanita mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB sambil melaungkan slogan anti-Obama.

Ucapan Obama itu mengulangi bantahannya terhadap usaha pengiktirafan Palestin itu dan menunjukkan simpati ke atas kesengsaraan hidup rakyat Israel.

Sementara itu, rakyat Palestin hari ini memberikan sokongan penuh kepada pemimpin mereka yang akan mengemukakan permohonan pengiktirafan tersebut.

Penyanyi dari Jenin, Ahmad Rahal mencipta lagu yang memuji Presiden Mahmoud Abbas sebagai seorang penjaga dan pelindung rakyat Palestin.

Menurut pemilik bengkel, Bilal Abu Ahmed, mereka amat menyambut baik tindakan Abbas dan gembira jika ia berjaya.

"Kami sudah tidak mampu untuk terus menderita. Biarlah anak-anak kami hidup dalam kemerdekaan," katanya.

Thursday, September 22, 2011

Malaysia VS Jepun - Kelayakan Olimpik 2012


TEMPIAS ‘taufan Roke’ di Fukuoka, malam tadi seperti menceritakan betapa barisan Harimau Muda karam di Stadium Tosu ketika terpaksa akur kepada keperkasaan Jepun yang turun selaku kuasa bola sepak Asia untuk merakamkan kemenangan 2-0.

Jelas perlawanan pembuka tirai Kumpulan C, saingan kelayakan Olimpik di Wilayah Saga, Kyushu, malam tadi menjadi dominasi anak didik Takashi Sekizuka yang menguasai penuh saingan 90 minit di bawah cuaca sejuk - sekali gus menuai tiga mata berharga dalam kumpulan yang turut membabitkan Syria dan Bahrain.

Realiti yang terpancar selepas wisel penamat dibunyikan pengadil Abdullah Balideh dari Qatar adalah anak didik Ong Kim Swee harus banyak belajar andai mahu memastikan sasaran tangga kedua kumpulan untuk beraksi dalam play-off, andai ia menjadi kenyataan kelak.

Tuan rumah bergelar Samurai Muda yang berhak menang atas persembahan padu di hadapan 22,504 penyokong mereka mengesahkan mata penuh menerusi ledakan Keigo Higashi pada minit ke-10 dan Yamazaki Ryohei (m-75).

Sebaik pengadil meniup wisel, Jepun mendominasi setiap saingan dengan pemain Harimau Muda sekadar mengejar bola manakala kapten yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menjadi individu paling sibuk di depan gawang.

Selepas empat kali penjaga gol negara Khairul Fahmi diuji, asakan Jepun membuahkan gol pertama ketika permainan hanya berusia 10 minit. Higashi yang tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti, meledakkan rembatan leret ke sebelah kanan untuk menggamatkan suasana stadium.

Tertekan tanpa dapat membolosi benteng Jepun, penyerang Izzaq Faris Ramlan sebaliknya dilayangkan kad kuning pada minit ke-28 kerana mengasari Kazuya Yamamura dan situasi bertambah buruk apabila penyerang, Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-40 untuk digantikan dengan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria.

Ada sedikit perubahan ditampilkan anak buah Kim Swee sebaik bersambung babak kedua apabila Wan Zaharul Nizam beberapa kali dapat melepasi benteng sebelah kiri Jepun tetapi tiada hantaran yang sampai kepada rakan di depan manakala dua rembatan jarak jauh Abdul Shukur dan Mohamad Fandi Othman tersasar jauh.

Namun, gawang negara bolos kali kedua pada minit ke-76 apabila Yamazaki mudah menolak masuk selepas Nagai melintangkan bola di depan gawang.

Friday, September 9, 2011

Cukai Perkhidmatan 6 Peratus Bagi Pembelian Tambah Nilai Prabayar

Persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar hari ini senada membantah pengenalan enam peratus cukai perkhidmatan bagi pembelian tambah nilai prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma‘amor Osman berkata, cukai itu dilihat membebankan pengguna apatah lagi caj panggilan yang dikenakan ketika ini sudah mahal.

“Keputusan itu tidak masuk akal dan kami membantah perlaksanaanya. Selama ini, jika kita membuat panggilan dan tidak berjawab, ia tetap dikenakan caj, inikan pula hendak perkenalkan cukai perkhidmatan.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan membuat keputusan teliti dan jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai enam peratus itu termasuk pek atau kad SIM prabayar yang berkuatkuasa 15 September ini.

Mengulas lanjut, Maamor berkata,selama ini syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa) meminta kerajaan membekukan perlaksanaan langkah itu.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, pengenalan cukai itu tidak releven dengan situasi ekonomi semasa yang menyaksikan rakyat berpendapatan rendah masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos barangan yang lain.

“Kami sangat dukacita kerana industri itu hanya melihat dari satu pandangan sahaja iaitu meningkat keuntungan mereka tanpa mempedulikan nasib pengguna.

“Selama ini, syarikat-syarikat berkenaan sudah mengaut keuntungan lumayan bukan sahaja melalui 15 juta rakyat tempatan tetapi juga daripada lebih empat juta pekerja asing di negara ini yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Apakah semua itu tidak cukup lagi sehingga mahu menekan pengguna dan rakyat negara ini pula,” katanya.

Menurutnya, jika keputusan tersebut dikekalkan, Cassa akan bekerjasama dengan persatuan pengguna dan NGO lain untuk melancarkan kempen memboikot secara besar-besaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, cukai itu dilihat sebagai cekik darah dan tidak perlu sama sekali.

“Pengguna menggunakan kad prabayar kerana mereka tidak merasa beban berbanding menggunakan talian yang kadang-kala mencecah ratusan ringgit apabila membuat pembayaran.

“Malahan, ada kad prabayaran yang boleh ditambah nilai dengan hanya RM5 tetapi jika mereka kenakan cukai, ia dilihat seperti membuli pengguna dan ia tidak patut berlaku,” katanya.

Wednesday, September 7, 2011

Belut


Sekumpulan kanak-kanak mengangkat seekor belut air tawar sepanjang satu meter dan berat enam kilogram yang ditangkap penduduk kampung di Sungai Kitapol, Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

Belut air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat dan dikatakan setanding dengan ikan tenggiri. Ia juga boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan, selain menguatkan daya tahan tubuh, menyeimbangkan tekanan darah, menghaluskan kulit dan mencegah penyakit mata.

Tuesday, September 6, 2011

Pelakon 'Winter Sonata' Bunuh Diri !

Park Yong-ha

Seorang pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan ditemui mati hari ini, dipercayai membunuh diri, menurut polis dan laporan media.

Agensi berita Yonhap melaporkan Park Yong-ha, 33, menggantung diri di kediamannya di Seoul.

Seorang pegawai Seoul Metropolitan Police Agency memberitahu The Associated Press, Park ditemui tergantung dengan wayar pengecas bateri telefon bimbitnya. Namun, polis masih menyiasat punca sebenar kematian beliau.

Park mula menampilkan diri pada akhir 1990-an dan pada 2002 membintangi drama bersiri 'Winter Sonata' yang diikuti ramai penonton di Jepun dan Asia Tenggara.

Perjalanan Terakhir Seorang Pejuang Yang Sejati






Demi kerana menjalankan amanah dan tanggungjawap yang diberikan, beliau terkorban semasa menjalankan tugas. Pemergiannya sukar dicari ganti. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Noramfaizul Mohd. Nor. AL-FATIHAH

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin

Monday, September 5, 2011

Welcome To East Speed Syndicate Blog

Introducing The Blog of East Speed Syndicate
                                                                                                           never die before death...